Dua malam lepas saya ambil kesempatan untuk bersama-sama menyertai Program Jejak Rezeki Gelandangan anjuran Yayasan Al Insyirah bersama Yayasan Al Rizki untuk membuat agihan makanan kepada gelandangan di sekitar Kuala Lumpur. Ini adalah kali ketiga saya menyertai dan kali ini saya bawa anak-anak saya sekali untuk membantu dan melihat sendiri.
Pada malam tersebut kami pergi ke 4 lokasi sekitar pusat bandar Kuala Lumpur iaitu di Jalan Hang Lekiu, Jalan Masjid India, Jalan Tuanku Abdul Rahman dan akhir sekali di Masjid Negara.
Di Jalan Hang Lekiu dan Jalan Tuanku Abdul Rahman antara tempat yang paling ramai golongan gelandangan ini. Boleh dikatakan hampir 40 orang di setiap lokasi ini. Dan di 2 lokasi ini telah memberi saya pandangan yang berbeza. Ada yang sempat berborak dan bertanya.
Mualaf
Saya sempat bertemu dengan sorang mualaf yang berbangsa India dalam lingkungan umur 30an. Beliau baru sahaja dihalau oleh keluarga beliau kerana memeluki agama Islam. Baru dalam 5 hari di halau. Beliau juga fasih berbahasa Inggeris.
Dalam 5 hari ini macam-macam dugaan beliau tempohi dari kena halau dari satu tempat ke satu tempat berteduh, duit dan telefon bimbit juga di curi semasa tidur di kawasan Masjid Jamek. Pada malam kami bertemu, makanan yang kami sumbangkan adalah makanan pertama beliau pada hari itu. Dan jam pada masa itu dalam 10 malam. Berharap beliau dapat sampai ke tempat yang beliau ingin tuju dengan bantuan yang diberikan.
Rata-rata mereka yang tidur di kawasan kaki lima yang beralaskan kotak atau pun plastik. Bagi yang bernasib baik mereka tidur di atas tikar.
Kanak-kanak
Semasa di sekitar Jalan Tunku Abdul Rahman, saya terlihat seorang anak kecil. Saya rasa umurnya tidak lebih setahun di kawasan gelandangan. Kanak-kanak berumur dalam lingkungan 5 hingga 9 tahun pun ada. Mereka hanya baring beralaskan plastik sahaja tanpa berbumbung. Sedih tengok keadaan mereka.
Bertapa bertuahnya kita yang masih cukup makan dan ada tempat berlindung. Kalau kita rasa kita ni susah, ada lagi orang yang lagi susah daripada kita. Sementara kita masih ada peluang ini gunakanlah sebaik mungkin. Kita belum tahu apa yang menunggu kita pada esok, lusa atau pun tahun hadapan.
Buatlah yang terbaik pada hari ini. Pada masa dan waktu ketika ini. Program ini serba sedikit memberi keinsafan, kesedaran pada saya. Saya perlu kerja lebih kuat dan perlu jadi lebih kaya supaya saya dapat bantu lebih ramai yang kurang bernasib baik.
Leave a Reply