Kita selalu sibuk dengan kerja masing-masing. Jarang kita dapat luangkan masa dengan anak masing-masing. Kadang-kadang hanya hujung minggu sahaja yang kita ada masa untuk bersama mereka.
Dah ada masa hujung minggu pun kekadang sibuk pula dengan undangan perkahwinan dan sebagainya. Dah selesai semua kita pun dah letih. Nak melayan anak-anak pun dah tidak larat.
Hendak keluar dengan anak-anak nanti nak pakai duit pula. Duit pun kita berkira-kira. Nak tunggu sampai hujung bulan pula. Banyak betul halangan hendak bersama keluargakan?
Tahukah anda sebenarnya anak-anak kita tidak perlukan duit yang banyak untuk gembirakan mereka. Mereka tidak perlu segala kemewahan untuk gembirakan mereka.
Anak-anak hanya perlukan masa bersama kita sahaja. Anak-anak perlukan perhatian kita. Mereka ternanti-nanti untuk bercerita dengan kita setiap hari.
Setiap hari ada sahaja benda baru yang mereka baru belajar. Ada penemuan baru yang mereka baru tahu. Anak-anak hendak bercerita dengan kita. Kita perlu berikan perhatian dan semangat kepada mereka.
Kalau kita bawa mereka ke padang permainan pun anak-anak kita dah seronok sangat. Padang permainan dekat rumah je pun. Punyalah bersorak kalau kita ajak ke padang permainan.
Walaupun hanya untuk 20-30 minit pun mereka sangat seronok. Anak-anak tidak pandai menipu. Anda boleh tengok sinar dari mata mereka apabila mereka tengah seronok. Luangkan masa bermain bersama mereka. Itu sahaja yang mereka minta dari kita sebagai ibu bapa.
Hari ini saya belajar sesuatu dari anak-anak saya petang tadi. Walaupun sekejap, saya nampak perbezaan mood anak-anak saya. Nampak betapa seronoknya mereka. Betapa riangnya mereka.
Luangkan masa anda dengan anak-anak, walaupun sekejap. Sedar-sedar nanti mereka dah besar. Kita tidak sempat lagi hendak bergumpal atau dukung mereka lagi. Masa itu dah terlambat dan tidak boleh pusing lagi. Selamat hujung minggu.
Leave a Reply