Assalamualaikum dan salam sejahtera semua.
Seperti yang anda semua tahu sebelum ini saya telah pergi untuk membuat saringan Covid 19 sebanyak 2 kali. Adik saya pun positif Covid 19. Kedua-dua ibu bapa saya pun positif Covid 19. Semua pun risau dengan perkembangan wabak Covid 19. Setiap hari ada sahaja kes baru yang dicatat.
Alhamdulillah adik dan ibu bapa saya semua telah keluar dari HKL tempoh hari. Sepanjang mereka di hospital memang saya tak tenteram memikirkan tentang mereka. Tapi dapat menarik nafas lega kerana mereka semua sihat apabila disahkan positif. Mereka tidak ada demam atau batuk pun.
Hanya sebelum dimasukkan hospital sahaja ada demam sehari dua tapi selepas itu mereka semua sihat. Apabila mereka positif, kami adik beradik lain semua kena pergi untuk membuat saringan Covid 19. Kami diklasifikasikan sebagai close contact dengan pesakit.
Memang perasaan dia tuhan sahaja yang tahukan. Dengar macam-macam kes teruk sehingga banyak kematian pasal Covid 19 ini. Dan yang paling susah nak terima jika ada yang meninggal memang tidak boleh pergi kebumi atau pun mandikan. Memang sedih kalau ini yang terjadi.
Sehari selepas saya dapat tahu yang saringan pertama saya adalah negatif, adik saya dapat panggilan dari KKM yang mengatakan dia positif dan ambulan akan ambil dia dalam masa terdekat dirumah. Minta adik saya siap-siap untuk dibawa ke Hospital Kuala Lumpur.
Esoknya saya serta adik-beradik dan adik ipar semua kena pergi buat saringan yang kedua walaupun sebelum ini telah disahkan negatif. Mereka hendak pastikan yang kami benar-benar tidak terdedah kepada virus Covid 19 ini. Perasaan berdebar datang kembali.
Ingatkan dah boleh tarik nafas legakan. Selepas buat saringan kedua, saya perlu kuarantin sehingga 14 April mengikut petugas KKM disitu. Keputusan saya akan diberitahu dalam 5 hingga 7 hari dari tarikh saya buat saringan.
Jika saya tidak terima apa-apa panggilan dari Pusat Kesihatan atau KKM dalam tempoh masa itu maknanya saya negatif. Mereka hanya akan telefon jika disahkan positif. Itu yang saya difahamkan semasa saya pergi membuat saringan tempoh hari.
Tepat pukul 12 tengahari tadi saya terima panggilan dari nombor yang tidak dikenali. Perasaan dah mula tak tentu arah. Apabila jawab panggilan mereka tanya boleh cakap dengan Azhar? Siap dengan nama penuh tau. Saya telefon dari Pusat Kesihatan ni. Dah mula berdegup laju jantung saya.
Sebab apa? Sebelum ini petugas sudah cakap mereka hanya akan telefon jika keputusan saya positif sahaja. Ingat dah lepas 7 hari takde telefon dah lega. Ini tetiba dapat telefon dari Pusat Kesihatan memang rasa cam nak pitam kejap tadi.
Ya tuan. Betul saya Azhar, saya cakap. “Saya nak maklumkan yang keputusan Encik tempoh hari adalah negatif” kata petugas yang telefon saya. Fuhhh.. tarik nafas panjang masa tu. Punya la takut sebelum tu kan. Baru boleh senyum masa tu.
Terus saya tanya, “Bukan kata hari tu kalau negatif tak kan call? Kalau positif sahaja baru call?” cuak ni. Petugas tu pun tergelak bila saya tanya. “Betul memang macam itu Encik, tapi ini saya telefon untuk maklumkan sahaja”. Memang betul suspense masa tu. Susah nak gambarkan dengan kata-kata.
Macam mana pun saya bersyukur yang kami semua adik beradik dapat keputusan negatif hari ini. Bersyukur ibu bapa dan adik saya pun sudah negatif dan dibenarkan pulang ke rumah. Syukur Alhamdulillah.
Leave a Reply