Ini salah satu percutian yang saya memang ternanti-nantikan. Memang salah satu impian saya untuk bercuti ke Maldives. Impian nak duduk bilik hotel yang atas laut. Kalau boleh memang cari yang boleh terjun terus dari bilik terus ke dalam laut. Fuhh.. Perasaan dia lain macam.
Masa cari bilik hotel memang saya tengok hampir semua hotel mengikut budget yang saya ada. Dan yang paling penting ada night transfer sebab penerbangan saya sampai sebelah malam. Kebanyakkan hotel lain yang jauh memang tidak ada night transfer. Lagi-lagi kalau yang kena naik seaplane. Hotel Olhuveli ini antara yang ada water villa dan juga ada night transfer.
Harga dia pun memang sesuai dengan budget saya ketika itu. Memang saya terus tempah hotel ikut tarikh yang saya ingin ke Maldives. Sampai je di lapangan terbang Maldives dah gelap. Terus naik ke bot yang akan membawa terus ke hotel. Memang private boat khas untuk kegunaan hotel ini sahaja. Masa nak masuk bot tu pun dah nampak kejernihan air di Maldives walaupun waktu malam.
Pejalanan bot laju itu mengambil masa 45 minit. Memang sepanjang perjalanan memang gelap gelita. Saya pun musykil macam mana pemandu bot itu bawa bot sebab memang tidak nampak apa-apa di depan kecuali kadang-kadang ada nampak lampu bot lain. Doa je la kan untuk sampai ke hotel cepat-cepat dan selamat.
Sampai di jeti Hotel Olhuveli pun cahaya samar-samar ala romantik gitu. Memang tidak berapa nampak sangat. Kami pun dah penat masa itu. Terus check in dan masuk ke bilik kami. Masa masuk ke bilik memang seperti yang dalam gambar. Dengan balkoni dek yang besar dan memang boleh terus terjun ke dalam laut kalau berani.
Di waktu malam, pihak Hotel Olhuveli memang telah memberi pesanan untuk tidak turun mandi di laut kerana ada banyak anak ikan jerung dan ikan pari di sekeliling. Punya la jernih air laut Maldives saya dari atas dek bilik hotel boleh nampak anak ikan jerung berlegar-legar bawah bilik hotel. Jadi jakun sekejap pun ada juga. Lama saya dan isteri duduk di dek menikmati waktu malam dengan angin yang sepoi-sepoi bahasa. Padahal dah letih masa itu.
Esok paginya, isteri bangun awal sebab nak tengok matahari terbit. Memang kami memilih bilik yang menghadap matahari terbit. Punya la lawa pagi tu. Semangat bangun awal pagi sebab nak tengok. Siap boleh layan dari atas katil lagi. Tidak perlu pun pergi ke dek kalau malas sangat. Tapi citer dia memang kami lepak dekat dek atas kerusi malas. Nikmati keindahan ciptaan tuhan.
Selepas selesai kami pun siap-siap untuk pergi sarapan pagi. Restoran dia memang terletak di tepi jeti kami sampai malam semalam. Yang seronoknya di Maldives hampir semua makanannya halal sebab negara Islam kan. Jadi tiada masalah untuk kami makan di sini. Tengok-tengok dekat restoran ni ada dek di luar. Betul-betul tepi laut. Memang terus kami duduk disitu walaupun panas sikit. Tapi panas pagi tidak la panas mana.
Makan sarapan pagi sambil dengar pukulan ombak. Dengan pemandangan seluas yang kita boleh pandang. Warna air laut pun ada beberapa dari jernih sampai lah ke biru gelap. Biru gelap ini biasanya laut dalam. Dengan angin yang bertiup lagi. Memang rasa tenang habis sambil makan sarapan pagi. Indah sungguh.
Setiap pagi memang saya look forward sangat sebab feeling dia sangat best. Di Hotel Olhuveli terdapat 5 restoran yang anda boleh pilih untuk makan tengahari dan makan malam. Setiap hari sepanjang di sini memang kami mencuba setiap restoran untuk merasa masakan mereka. Harga setiap hidangan antara USD10-USD20. Bergantung juga pada jenis makanan yang anda pilih.
Memang dah sampai Hotel Olhuveli ini anda tidak perlu ke mana-mana tempat lain kerana semua pun memang ada di sini. Kalau untuk pergi aktiviti snorkeling atau apa-apa sukan air pun memang semua ada di sini. Hanya sediakan duit sahaja. Ada juga yang tawarkan ke untuk pergi lihat Hammerhead Shark. Dah hampir-hampir terjebak juga sebenarnya. Tapi kami putuskan hanya untuk pergi tengok ikan lumba-lumba dan juga snorkeling untuk hari yang kedua.
Jika ada banyak masa memang boleh sangat nak cuba semua sukan air dan pakej yang ada. Masa sahaja yang menjadi sekatan di sini. Lagi pun memang datang sini nak lepak santai-santai sahaja. Tak mau kelam kabut ke apa. Memang relax habis sepanjang menginap dekat hotel di Maldives ini. Selain itu ada juga kolam renang di hotel ini dan ada kafe untuk duduk santai di tepi kolam renang.
Terdapat juga beberapa aktiviti riadah lain di hotel ini seperti tenis dan badminton. Ada juga nature walk, aktiviti board game, karaoke dan juga live band. Kalau nak buat semua memang tak cukup masa. Memang kena duduk lebih lama dekat hotel ini kalau nak layan semua aktiviti yang disediakan di Hotel Olhuveli Maldives ini.
Sepanjang kami berada di Hotel Olhuveli Maldives ini memang kami sangat berpuas hati. Kami tidak perlu bawa duit atau wallet sepanjang kami menginap di sini kerana semua akan di caj terus ke bilik untuk memberi kesenangan pada pengunjung. Memang ada hajat untuk datang lagi sekali. Nampaknya sekarang dah ada water villa yang ada kolam renang sendiri.
Leave a Reply