Lampu bertukar hijau dengan pantas saya tekan pedal minyak. Dengan perjalanan yang mengambil masa 1 jam setengah untuk sampai ke tempat temujanji anak saya dengan doktor di tengah-tengah kota Los Angeles. Berdekatan dengan Hollywood.
Dengan kereta yang kuasa tinggi memang tidak terasa laju bila tekan. Kekadang terlupa yang meter kereta di sana dalam ‘miles per hour’ bukan ‘kilometer per hour’. Rupa-rupanya dah laju.
Sampai di simpang lampu isyarat pun bertukar merah. Pandang ke cermin belakang nampak polis bermotosikal besar kuasa tinggi. Lampu bertukar hijau je saya pun jalan. Pada masa yang sama juga siren polis motosikal pun berbunyi.
Saya pun perlahankan kereta dan ketepi untuk berikan laluan. Meleset jangkaan saya kali ni. Rupanya polis mengarah saya untuk ketepi dan berhentikan kenderaan. Di jalan besar agak susah nak berhentikan kenderaan. Saya mencari ruang kedai yang boleh saya berhentikan kenderaan.
Kali pertama kena tahan dengan polis di Amerika. Cuak la juga kan. Tengok dalam tv ganas-ganas semua. Polis tu pun menghampiri kereta dan meminta lesen dan pendaftaran kereta. Panik sekejap bila minta pendaftaran sebab kereta sewakan. Sana takde roadtax ke apa kena lekat. Polis suruh periksa dalam ruang simpanan sebelah pemandu.
Fuh. Nasib baik ada. Tanya polis kenapa saya di tahan. Dia kata saya memandu laju. Melebihi had laju dibenarkan. Polis tu kata saya memandu lebih dari 60mph iaitu lebih kurang 100km sejam.
Saya pun agak musykil sebenarnya sebab dari lampu isyarat pertama ke yang kedua lebih kurang 500 meter sahaja. Tak kan saya tekan laju sangat lagi pun bawa mpv 7 seater pulak tu. Penuh semua orang pulak.
Tapi sebab nak cepat selesaikan saya pun ya kan sahaja. Sebab dah lewat untuk ke temujanji doktor anak saya. Dari nak cepat dah jadi lagi lambat sebab kena tahan polis.
Nak bantah atau cabar polis kat sini nanti jadi lain pula kan. Saya pun senyap dan jawab apa yang polis tu tanya saya. Hanya tanya mana nak bayar je. Dia cakap dekat dalam surat saman tu ada no telefon dan tempat yang boleh bayar.
Saya diberi tempoh 30 untuk jelaskan bayaran saman. Selesai je saya pun beredar untuk pergi temujanji dengan doktor anak saya. Dengan kesesakan di Los Angelas memang mencabar sungguh.
Lepas beberapa hari baru saya pergi ke tempat yang diberi untuk menjelaskan bayaran saman. Nasib baik hari yang saya pergi tu tak ramai orang. Sekejap je dah tiba giliran saya.
Di Los Angeles ni ada banyak dia panggil ‘county’ atau lebih kurang macam kita nye majlis perbandaran. Setiap county berbeza cara dan saman nya. Tempat nak pergi pun berlainan. Dikatakan ada lebih dari 80 county mengikut orang disana.
Tiba giliran saya, kerani tu pun tengok surat saman dan buat kira-kira. Tup-tup saman saya berjumlah USD367. Terdiam. Terkesima sekejap. Kira-kira balik duit Malaysia dalam RM1400 lebih ni.
Tanya boleh ke buat rayuan untuk kurang. Dia kata boleh tapi kena masuk mahkamah jumpa hakim. Dah macam dalam tv la pulak kan tengok hakim kat Amerika jatuhkan hukuman.
Kerani itu kata biasanya ambil masa 30 hari hingga 45 hari untuk dapatkan tarikh, jumpa hakim dan buat rayuan. Mana saya ada masa selama tu di sana. Nak duduk sana tunggu lagi mahal kos saya.
Mahu atau tidak saya jelaskan juga saman berharga USD367. Saman paling mahal saya pernah kena sepanjang hidup. Jika saya tidak selesaikan saman ni, lain kali jika saya pergi ke Amerika ada kemungkinan saya di larang masuk dan di halang untuk menyewa kereta di sana.
Murung la juga sebab duit berbelanja dah kena bayar saman kan. Banyak tu USD367. Macam-macam boleh beli kat sana dengan duit banyak tu.
Dekat Amerika memang ramai anggota polis berada di sepanjang jalan mereka. Setiap county ada pasukan polis mereka sendiri. Jadi berhati-hati dan sentiasa patuhi had kelajuan yang dipaparkan.
Sekarang lebih mudah jika anda pakai waze sebab di setiap laluan terdapat had kelajuan yang dibenarkan. Apa-apa pun selamat memandu dan ia adalah satu pengalaman yang tidak dapat dilupakan. Memandu sebelah kiri pula kan di Amerika.
Amazin!